Usahawan merupakan di antara pemangkin ekonomi yang sangat berpotensi di Malaysia. Ini dibuktikan dengan dasar yang diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan iaitu Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
Dasar ini menggalakkan penglibatan orang ramai tanpa mengira lapisan masyarakat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan bermatlamat untuk membentuk masyarakat berpemikiran dan berbudaya keusahawanan disamping meningkatkan bilangan usahawan berkualiti juga berdaya maju serta berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif. Bidang keusahawanan merupakan bidang yang sangat penting untuk semua negara kerana keusahawanan merupakan salah satu bentuk disiplin ilmu yang menjadi tonggak kepada perkembangan, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara tersebut.
Perkataan ‘entrepreneur’ (usahawan) adalah dalam Bahasa Inggeris juga berasal daripada Bahasa Perancis iaitu ‘entreprendre’ yang bermaksud memikul (tugas). Tanggungjawab, mengalas atau mencuba
Perkembangan teknologi digital pada masa kini membawa perubahan bentuk perniagaan yang sedia ada dari segi penciptaan produk yang baharu, pengenalan produk, peningkatan proses perniagaan dan perkhidmatan baharu yang bersifat berdaya saing. Ekonomi digital penting dalam memacukan pertumbuhan ekonomi tempatan kerana tenaga penggerak kebanyakannya usahawan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Dengan itu, kerajaan telah melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi bagi pembangunan platform perniagaan untuk merealisasikan tujuan ini menerusi pemberian geran dan pinjaman kepada syarikat yang berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Suntikan dana peruntukan tersebut telah menelan belanjawan sebanyak RM 700 juta. Syarikat pertengahan juga turut tidak ketinggalan dalam mendapat manfaat untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam saluran perdagangan dan teknologi mereka.
Ekonomi digital yang baharu ini dapat mewujudkan pelbagai bidang dan peluang perniagaan serta pekerjaan, secara totalnya akan meningkatkan pendapatan negara termasuk di kawasan luar bandar. Golongan belia seperti pelajar lepasan sekolah dan pengajian tinggi pula dapat mengubah nasib menjadi pencipta mahupun pemberi kerja kepada masyarakat seterusya tidak menjadi kelompok penganggur.